Skip to main content

Bola Sepak

Skuad TFC III, TFC IV dapat imbuhan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tfc_1.jpg
Kejayaan dua pasukan Terengganu FC (TFC) ke pentas final Piala Presiden dan Piala Belia dikongsi bersama kerajaan negeri yang memberi insentif RM80,000.

Imbuhan itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berupa RM2,000 setiap seorang kepada pemain dan pegawai TFC III selaku juara Piala Presiden manakala RM1,000 kepada naib juara Piala Belia, TFC IV.

Dr. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar berkata kejayaan itu membuktikan Terengganu tidak pernah ketandusan pemain-pemain berpotensi dan berikrar akan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi.

Malah, pencapaian itu, jelasnya, perlu diteruskan, terutama skuad TFC III bimbingan Badrul Afzan Razali yang akan membawa cabaran dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, minggu depan.

"Kita mampu bersaing dan seluruh peminat mahukan TFC III membawa pulang pingat emas, seterusnya melonjakkan status selaku kuasa besar bola sepak tempatan," ujarnya dalam majlis meraikan TFC III dan TFC IV di Kuala Terengganu, petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan itu wajar dirai bagi menghargai keringat mereka yang mencapai sasaran persatuan.

Beliau, begitupun, enggan melihat kerja keras semua pasukan di bawah persatuan itu terhenti dan cepat berasa puas hati.

"Masih berbaki saingan Piala Malaysia serta Piala Cabaran melibatkan dua lagi pasukan Terengganu dan diharap kejayaan lebih manis akan hadir selepas ini," tambahnya.

Untuk rekod, pada 26 Ogos lalu, skuad TFC IV kendalian Subri Sulong tewas 1-2 kepada PKNS FC dalam final Piala Belia sebelum TFC III muncul juara Piala Presiden menewaskan Kedah 2-1, tiga hari kemudian.

Advertisement

Must Watch Video