BOLA SEPAK

Skuad bola sepak pekak negara timba pengalaman berguna

Ammar Hakim 11/09/2023 | 11:15 MYT
Aksi persahabatan pasukan bola sepak pekak negara menyaksikan anak buah Haris Lajid terpaksa akur tumpas 2-0 di tangan pasukan UniKL FC.
Bagi jurulatih bola sepak pekak kebangsaan, Muhamad Haris Lajid menganggap kekalahan skuad kendaliannya kepada pasukan UniKL itu berpunca daripada kegagalan pasukan bertahan dengan baik selain pemain dilihat sukar melakukan penyudah terbaik menyaksikan gawang UniKL gagal dibolosi.
"Apa yang dapat kami pelajari dalam perlawanan ini, terdapat banyak lagi perlu diperbaiki ketika melakukan serangan, barisan pemain gagal tenang dalam usaha menghasilkan jaringan, saya percaya terdapat masih lagi ruang untuk diperbaiki menjelang perlawanan akan datang," katanya menerusi Nadi Arena.
Sementara itu, ketua pasukan UniKL FC, Muhammad Darwisy Abdullah, menganggap kemenangan yang berjaya diraih sebagai pembakar semangat menjelang aksi separuh akhir Piala Menteri Pendidikan 2023 bertemu UiTM Arau pada 26 September yang bakal dilangsungkan di Bandar Baru Salak Tinggi.
Kejohanan Bolasepak Pekak Dunia akan berlangsung buat kali keempat, dan edisi ini akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dengan Malaysia selaku tuan rumah bermula 23 September.
;