BOLA SEPAK
Skuad B-17 Harimau Malaya ukur jentera serangan jumpa Uzbekistan
Perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan bagi skuad B-17 negara bimbingan Osmera Omaro, esok, semestinya memerlukan persiapan yang rapi.
Justeru, Omaro boleh menarik nafas lega apabila tiada sebarang kecederaan yang serius dilaporkan, sekali gus bersedia untuk menggilap sentuhan penyudah ketika menentang pasukan berkualiti.
Perlawanan pemanas badan menentang Uzbekistan di Stadium UiTM, Shah Alam, itu diadakan bagi membantu skuad remaja ini menghadapi saingan Piala Asia di Thailand yang bermula 15 Jun ini.
"Kami sepatutnya boleh lebih tajam lagi di depan gol.
"Dalam lima peluang yang ada, kami perlu habiskan empat peluang.
"Walaupun masih kurang berpuas hati, tapi memang ada perubahan ketara daripada segi jumlah gol," katanya di Wisma FAM hari ini.
Sementara itu, pemain skuad B-17, Afiq Danish Hasniruddin, mengakui tiada masalah untuk menjelmakan persembahan terbaik apabila meletakkan sasaran untuk menewaskan pihak lawan sebelum berlepas ke Thailand minggu depan.
"Semua orang meletakkan harapan tinggi ke atas kami, kami mahu buat yang terbaik.
"Kami pernah pergi Piala AFF, kelayakan Piala AFC dan tahun ini pula ke Qatar.
"Kalau kami bermain dalam prestasi terbaik, tiada masalah untuk kami ke Piala Dunia," katanya.