Skuad B-23: Juan Torres puji Azim Al Amin selaku penjaga gawang
Shaiful Shamsudin
Disember 23, 2023 21:23 MYT
Disember 23, 2023 21:23 MYT
Skuad bawah 23 negara berjaya merobohkan tembok besar China 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa tertutup di Stadium Jinshan, Shanghai petang tadi.
Jaringan masa kecederaan menerusi pertahanan Selangor, Harith Haiqal, menyelamatkan skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu daripada kemarau jaringan dalam aksi pertama.
Juan Torres, bagaimanapun, memuji ketangkasan penjaga gol, Azim Al Amin dalam mengekang usaha pasukan lawan untuk menjaringkan gol selepas beberapa percubaan bahaya dilakukan sepanjang perlawanan.
Juan Torres Garrido selaku ketua jurulatih B-23 dalam Nadi Weekend memaklumkan: “Apabila anda bermain dua kali dengan pasukan yang sama ia akan melalui kesukaran yang pasti semua tahu, pasukan yang anda main nak-nak baru-baru lagi hari ini, miliki usaha keras dan kerja berpasukan yang mantap.
“Sudah pastinya kami akan buat yang terbaik lagi dan lakukan peningkatan selepas ini."
Dalam pada itu, kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi, tidak menjadikan cuaca sejuk sebagai kekangan untuk mempamerkan aksi terbaik walaupun jaringan pada minit terakhir. perlawanan.
Mukhairi berkata, “Setakat ini alhamdulillah, saya tengok pemain semua bersemangat dan walaupun sejuk kita dapat lakukan dengan cuaca dekat sini, alhamdulillah gol pada minit-minit akhir perlawanan.
"Syukur sebab kemenangan perlawanan persahabatan pertama kita dekat sini dan saya harap semua pemain kekal fokuslah untuk perlawanan yang akan datang nanti.”