UCL

Sissoko sanjung Lloris selamatkan penalti Aguero

Penulis Jemputan 10/04/2019 | 02:46 MYT
Moussa Sissoko melabel Hugo Lloris sebagai penjaga gol yang "sukar dipercayai" selepas menyelamatkan sepakan penalti untuk menjulang kemenangan 1-0 Tottenham ke atas Manchester City, awal pagi tadi.
Spurs akan membawa bekalan tipis itu ke Stadium Etihad minggu depan selepas Son Heung-min menjadi watak pemisah dalam pertembungan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) itu.
Sergio Aguero berpeluang untuk membuka jaringan dari jarak 12 ela ketika permainan baru berusia 13 minit tetapi Lloris menepis sepakan penyerang City itu ke arah kiri.
Sissoko menghamburkan pujian terhadap ketua pasukannya itu yang melakukan kesilapan ketika berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana, hujung minggu lalu, apabila usahanya untuk menguis keluar rembatan Mohamed Salah terkena Toby Alderweireld sebelum bola bergolek ke dalam gawang.
"Hugo merupakan penjaga yang luar biasa dan dia telah membuktikannya setiap minggu," kata Sissoko kepada Spurs TV.
"Kami cukup bernasib baik kerana memilikinya, oleh itu diharapkan dia dapat meneruskan kecemerlangannya sehingga akhir musim ini."
Sissoko menganggap Spurs lebih bernafsu besar daripada City. Ini kerana mereka mahu menjadi pasukan pertama untuk mengalahkan pasukan kendalian Pep Guardiola itu sejak dikalahkan Newcastle United pada 29 Januari lalu.
Apabila ditanya apakah rahsia mereka untuk menang, pemain tengah itu menjawab: "Saya fikir ia mengenai kemahuan kami.
"Kami bekerja keras sebagai sebuah pasukan dari awal hingga akhir permainan. Hugo memastikan kami dapat terus bersaing dengan aksi menyelamat itu. Kami semua boleh bergembira dengan prestasi ini dan kami perlu meneruskan rentak ini.
"Kami sangat gembira dengan persembahan ini. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. City adalah salah sebuah pasukan terbaik di dunia.
"Begitupun, kami bermain di hadapan peminat sendiri di stadium yang menakjubkan ini.
"Jadi, kami tahu kami boleh melakukannya. Ini adalah perlawanan yang sangat sukar tetapi kami menang."
;