Skip to main content

Bola Sepak

Simeone puji Oblak penjaga gol terbaik dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jan-oblak.jpg
ATLETICO MADRID 2 CELTA VIGO 0

Diego Simeone menyifatkan Jan Oblak sebagai "penjaga gol terbaik dunia" selepas pemain bintang itu memastikan kemenangan 2-0 Atletico Madrid ke atas Celta Vigo dalam saingan LaLiga di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.


Atletico bangkit daripada kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Barcelona, hujung minggu lalu, dengan gol daripada Antoine Griezmann dan Alvaro Morata memastikan mereka meraih tiga mata daripada Celta.

Ia pasti menjadi keputusan yang berbeza andai Oblak tidak memaparkan tiga aksi menyelamat luar biasa yang menafikan peluang Celta sepanjang perlawanan.

Simeone tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa penjaga gol kebangsaan Slovenia itu -- yang menyertai Atletico daripada Benfica pada 2014 -- merupakan yang terbaik di dunia.

"Dia merupakan penjaga gol terbaik dunia.

"Kami beruntung kerana dia memilih untuk beraksi dengan Atletico.

"Dia banyak meningkat dan dia layak untuk mendapat gelaran itu.

"Ketika mula-mula menyertai kami, dia hanya beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan disebabkan usaha, kerja keras dan peningkatan yang dilakukannya, dia berada di mana dia berada sekarang," katanya.

Pengendali Atletico itu, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa Griezmann akan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.

Camp Nou berkemungkinan menjadi destinasi pilihan pemain tengah itu selepas Barca secara terbuka menyatakan minat mereka terhadap bintang berusia 28 tahun itu sebelum dia memilih untuk kekal bersama Atletico selepas Piala Dunia tahun lalu.

"Saya ulanginya sekali lagi, dia merupakan salah seorang daripada kapten kami.

"Kelab ini sudah berusaha keras untuk mengekalkannya di sini dan dia juga gembira untuk berada di Madrid.

"Dia merupakan pemain yang amat penting bagi pasukan ini, jadi saya tidak berasakan dia akan meninggalkan kami," jelasnya.

Kemenangan ke atas Celta memberikan Atletico kelebihan lima mata di depan Real Madrid -- yang akan berdepan Leganes, Selasa ini -- bagi perebutan tempat kedua.

Advertisement

Must Watch Video