Skip to main content

Bola Sepak

Simeone puas hati kebangkitan Atleti di Copenhagen

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

griezmann_4.jpg


COPENHAGEN 1 ATLETICO MADRID 4 

Diego Simeone berpuas hati melihat Atletico Madrid bangkit mencipta kemenangan 4-1 ke atas Copenhagen dalam perlawanan pertama pusingan 32 Liga Europa, awal pagi tadi. 


Viktor Fischer memberikan juara Denmark itu kejutan pendahuluan pada minit ke-15, namun ia hanya bertahan sementara sebelum Antoine Griezmann membuat hantaran lintang yang ditanduk Saul Niguez untuk mengimbangi permainan. 

Griezmann mempamerkan aksi bertenaga ketika bergandingan dengan Lucas Hernandez untuk mencipta gerakan kepada gol Kevin Gameiro menuju waktu rehat sebelum penggempur Perancis itu mencetak namanya selaku penjaring. 

Pemain gantian, Vitolo, kemudian melengkapkan kemenangan selesa di Stadium Parken yang bersalji dan oleh itu, Simeone gembira dengan kebangkitan pasukannya dan lantas memuji Griezmann.

"Saya sangat gembira dengan persembahan itu," kata Simeone dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami menjadi lebih selamat selepas gol penyamaan dan ia satu persembahan yang sempurna. 

"Copenhagen turun seperti yang kami jangkakan dan mendapatkan gol seperti yang mereka harapkan tetapi apa yang paling penting ialah prestasi kami.

"Griezmann tampil seperti yang telah dilakukan kebelakangan ini, cara kami bermain dengan banyak kombinasi serasi dengannya, dia berada dalam keadaan yang baik pada masa ini."

Diego Godin kembali beraksi selepas menjalani pembedahan berikutan pelanggaran dengan penjaga gawang Valencia, Neto, awal bulan ini sehingga menyebabkan giginya patah.

"Sangat bagus, dia mempamerkan karakter yang sangat bagus," tambah Simeone mengenai prestasi pemain pertahanan berkenaan. "Dia bermain seolah-olah dia tidak pernah tercedera."

Biarpun mendahului, pertahanan goyah membenarkan Griezmann untuk mencipta peluang awal dan untuk itu, jurulatih Copenhagen, Stale Solbakken, mengakui pertahanannya memberi banyak ruang sehingga membuatkan peluang mereka untuk ke pusingan 16 dalam kesamaran.

"Jika anda melakukan kesilapan seperti yang kami lakukan dalam 10 minit pertama, anda boleh kalah kepada mana-mana pasukan," kata Solbakken, yang juga bertanggungjawab ketika Copenhagen kalah kepada Atleti pada 2007.

"Atletico pastilah merupakan salah sebuah pasukan terbaik yang pernah kami hadapi. Peluang kami sudah tertutup, mungkin beberapa pemain yang tidak mendapat peluang pada malam ini akan diturunkan di Madrid nanti."
 

Advertisement

Must Watch Video