Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Simeone kekal positif Atletico seri

simeone-s.jpg
ATLETICO 2 CELTA VIGO 2


Diego Simeone menegaskan ada banyak perkara positif yang boleh diambil selepas Atletico Madrid diikat 2-2 oleh Celta Vigo, awal pagi tadi, biarpun kecewa anak buahnya melepaskan kelebihan tipis pada minit ke-89.


Los Rojiblancos menuju untuk mengembalikan jurang 10 mata di depan Barcelona dan Real Madrid di puncak LaLiga apabila dua gol Luis Suarez memadam jaringan pendahuluan Santi Mina buat Celta di ibu kota Sepanyol, awal pagi tadi.

Tuan rumah, bagaimanapun, dinafikan rentetan kemenangan kesembilan selepas pemain gantian, Facundo Ferreyra -- yang membuat penampilan sulung sejak tiba dari Benfica pada tarikh akhir jendela perpindahan musim sejuk -- menolak masuk peluang dari jarak dekat. 

Bagaimanapun, Atleti masih mendahului selesa dengan lapan mata selain mempunyai kelebihan perlawanan. 

Mereka belum tumbang sepanjang 22 perlawanan liga di tempat sendiri -- pencapaian terbaik mereka sejak mencatatkan rekod kebal dalam 22 perlawanan di antara September 2015 dan Oktober 2016 -- sementara 51 mata yang dikumpul selepas 20 perlawanan adalah catatan terbaik mereka sejak kali terakhir menjulang liga pada 2013-14.

Simeone enggan bersikap terlalu keras terhadap barisan pertahanan kerana tidak merantai Ferreyra sambil berasakan mereka ada ruang untuk pulih segera dalam kunjungan ke Granada, hujung minggu ini.

 


"Ia sesuatu yang normal memandangkan sepanjang musim ini dan dengan jumlah perlawanan yang diharungi, keputusan sebegini boleh terjadi," katanya dalam sidang media.

"Hari ini, kami akan mengorak langkah, menghadapi satu persatu perlawanan dan saya melihat banyak perkara positif yang boleh diambil berbanding negatif.

"Beberapa pemain simpanan seperti Renan Lodi, Geoffrey Kondogbia dan Lucas Torreira berjaya mengambil kesempatan ini apabila memperagakan aksi yang sangat baik. Itu aspek penting pada masa depan.

"Kami berdepan permulaan yang sukar. Lawan beraksi dengan baik. Saya rasa tidak banyak peluang untuk mana-mana pasukan dalan separuh masa pertama, mereka lebih selesa menguasai bola. 

"Dalam babak kedua pula kami bertambah baik menerusi perubahan sistem dengan mengukuhkan bahagian tengah dan menarik seorang pertahanan, Kondogbia dan Torreira mampu mara lebih atas."

Dua gol daripada Suarez itu menyaksikan penggempur Uruguay tersebut mencatatkan 16 gol dalam 17 perlawanan liga bersama Atleti, sekali gus mengatasi Cristiano Ronaldo sebagai pemain terpantas yang meledak 16 gol dalam musim pengenalan bersama kelab baru pada abad ke-21 ini.


 

Advertisement

Must Watch Video