Skip to main content

Bola Sepak

Simeone akui Atletico Madrid sekat minit permainan Griezmann

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

antoine-griezmann.jpg
Diego Simeone mengakui Atletico Madrid sengaja mengehadkan minit Antoine Griezmann bagi mengelak daripada mengaktifkan klausa pembelian dalam perjanjian pinjaman penyerang itu.

Griezmann sedang menjalani tempoh pinjaman selama dua tahun daripada Barcelona, ​tetapi Atleti dilaporkan perlu membeli pemain antarabangsa Perancis itu andai dia beraksi lebih 45 minit dalam kebanyakan perlawanan mereka.

Walaupun Griezmann membuat 21 permulaan liga bersama Los Colchoneros musim lalu, dia sekadar menyumbangkan tiga gol dan empat bantuan jaringan, malah peranannya makin mengecil dalam permulaan kempen baru.

Pemain berusia 31 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang dalam tiga penampilannya sebagai pemain gantian musim ini dengan meledak dua gol, tetapi hanya bermain 82 minit dalam LaLiga.

Ditanya sama ada pengurusan masa bermain Griezmann ditentukan oleh polisi kelab, Simeone berkata: "Mereka telah mengenali saya selama 10 tahun. Saya seorang yang patuh kepada kelab dan akan sentiasa begitu.

“Kami perlu cuba membuatkan pemain faham bahawa memasuki 30 minit dengan baik adalah lebih penting daripada bermain 60 minit dengan teruk.

"Semua orang mahu beraksi lebih minit dan itulah sebabnya jurulatih mencari situasi terbaik buat pasukan."

 

Atleti agak tenang dalam pasaran perpindahan dengan membawa masuk Nahuel Molina, Axel Witsel dan Sergio Reguilon, manakala perpindahan pinjaman Renan Lodi ke Nottingham Forest mewakili perpindahan mereka yang paling berprofil tinggi.

Simeone menyalahkan kekurangan aktiviti mereka atas ketidakupayaan untuk menjana dana dalam beberapa tahun kebelakangan ini sambil menambah: "Kami telah bercuti sejak Mei lalu dan Jun menjadi rumit.

"Julai pula kami mula serasi dan Ogos kembali menjadi rumit. 

"Nampaknya empat pemain pergi, tiga yang baru masuk. Tetapi saya rasa krisis pandemik mempunyai banyak kaitan dengannya. Kami tidak dapat menjual pemain dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ia menimbulkan kesukaran."

Atleti akan bertandang ke Real Sociedad untuk perlawanan keempat musim ini tengah malam ini selepas memungut enam mata daripada tiga perlawanan pembukaan LaLiga.

Griezmann, yang memulakan kariernya bersama La Real, telah mencetak gol dalam tiga kunjungan terakhirnya ke Reale Arena (dua gol, satu bantuan jaringan).



 

Advertisement

Must Watch Video