Shin Tae-yong hadir ke SSI dengan misi tersendiri
Afiq Azfar
Oktober 3, 2024 22:41 MYT
Oktober 3, 2024 22:41 MYT
Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong dikesan berada di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Selasa lalu.
Kehadiran beliau adalah untuk menyaksikan perlawanan diantara tuan rumah JDT menentang Shanghai Shenhua di mana menyaksikan JDT mudah membenam cabaran lawan tersebut dengan keputusan 3-0.
Namun apa yang menarik, Shin Tae-yong hadir dengan misi beliau yang tersendiri selain menyaksikan perlawanan tersebut di mana beliau turut bertemu dengan pemain pertahanan Indonesia, Jordi Amat dan pemain Korea Selatan, Park Jun-heong.
Dalam diam, beliau turut meluangkan masa untuk melihat dan memerhati persembahan pemain-pemain kebangsaan China yang bermain untuk pasukan Shanghai Shenhua seperti Wang Haijian, Jiang Shenglong, dan Yang Zexiang.
Hal ini merupakan sebahagian daripada persediaan pasukan kebangsaan Indonesia yang akan menentang pasukan China dalam aksi ketiga Kumpulan C Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia yang akan berlangsung pada 15 Oktober 2024 di Qingdao Youth Football Stadium.