Ketua jurulatih bola sepak Indonesia, Shin Tae-yong meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan pengadil, Ahmed Al-Kaf dalam aksi bertemu Bahrain awal pagi tadi.

Dalam sesi sidang media selepas perlawanan, Shin Tae-yong tanpa berselindung meluahkan rasa kecewa dan turut memberikan komen pedas terhadap pegawai-pegawai yang mengadili perlawanan tersebut.

"Jika AFC ingin maju ke hadapan, mereka perlu memperbaiki keputusan dan juga pengurusan." kata beliau.

"Soal tambahan masa, sepatutnya hanya 6 minit. Tapi ianya sampai 9 minit lebih. Jadi saya rasakan keputusan-keputusan pengadil bias. Saya rasa semua orang faham kenapa kami begitu kecewa dengan keputusan-keputusan tersebut." ujarnya lagi.

Walaupun begitu, Shin Tae-yong tetap memuji aksi anak buahnya yang berjuang sehingga minit terakhir permainan.