Skip to main content

Bola Sepak

Shaw akui kesilapannya ragut mata berharga Manchester United

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

shaw.jpg
Luke Shaw berkata 'kesilapan' menyebabkan Manchester United melepaskan mata penting dalam kekalahan 1-0 kepada Brighton and Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Di penghujung masa kecederaan separuh masa kedua, hantaran daripada sepakan sudut terkena lengan Shaw dan Andre Mariner memberikan Brighton penalti yang disempurnakan Alexis Mac Callister untuk memberikan pasukannya tiga mata penuh.

"Minit akhir, aksi terakhir perlawanan. Bola terkena lengan dan ia tidak sepatutnya berlaku," kata Shaw kepada Sky Sports selepas perlawanan. 

"Saya boleh menghalang bola dengan cara yang berbeza, namun sukar untuk saya menjelaskan buat masa ini.

Kemenangan buat tuan rumah sedikit sebanyak melunas dendam apabila mereka tewas kepada United dalam aksi separuh akhir Piala FA, 12 hari yang lalu.

Tiga mata yang diperoleh membenarkan pasukan kendalian Roberto de Zerbi naik ke tempat keenam liga, lapan mata di belakang United di tempat keempat, namun The Red Devils masih berkelebihan satu perlawanan dalam perlumbaan untuk kelayakan Liga Juara-Juara.

United kekal dua mata di belakang tempat ketiga Newcastle United dan empat mata di hadapan Liverpool, yang telah bermain lebih satu perlawanan.

"Ia tidak mengubah apa-apa. Ia masih dalam tangan kami," kata Shaw mengenai perlumbaan untuk empat teratas. 

"Pasukan di sekeliling kami sedang mengutip mata. Kami masih mempunyai satu perlawanan di tangan dan segalanya berada di tangan kami."

Advertisement

Must Watch Video