LIGA SUPER MSIA

Sharbinee tidak jangka mampu kembali beraksi

Penulis Jemputan 03/06/2018 | 11:24 MYT
Selepas disahkan menghidap kanser darah, penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, tidak menyangka kariernya sebagai penjaga gol masih ada dan hanya mampu tersenyum apabila rata-rata memuji aksi pertamanya selepas berehat selama setahun.
Rasa gementar sebelum memulakan aksi pertamanya sejak pulih daripada masalah kesihatan benar-benar menghantui Sharbinee ketika pasukannya menewaskan Terengganu 3-0 dalam Liga Super di Stadium Cheras, semalam.
Ditambah pula lawan yang dihadapi adalah bekas pasukannya sendiri yang membiayai sepenuhnya perubatan Sharbinee sebaik dia dikesan mengalami kanser awal tahun lalu.
Terengganu di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim turut membenarkan Sharbinee menjalani latihan untuk memantapkan kecergasannya selama empat bulan sebelum dilepaskan bersama Kuala Lumpur.
"Saya tetap berterima kasih kepada pasukan Terengganu sebab memberi ruang kepada saya untuk menyertai mereka bagi meningkatkan persembahan saya.
"Tetapi malam ini kebetulan bermain menentang mereka. Jadi, memang rasa agak pelik. Tetapi, nak buat macam mana, bos baru saya di sini," kata pemain berusia 32 tahun itu.
Teruja dengan kemunculan semula dalam saingan Liga Super, Sharbinee mahu terus konsisten dengan prestasi semasanya demi membantu Kuala Lumpur yang kini merupakan majikannya.
Aksi bertenaga Sharbinee semalam sudah cukup untuk membuktikan pemain itu masih berbisa walaupun baru pulih daripada masalah kesihatan.
"Sememangnya agak gementar kerana hampir setahun saya tidak bermain. Ini adalah perlawanan pertama, jadi memang ada sedikit gemuruh.
"Alhamdulillah, saya mendapat semula keyakinan untuk memberikan yang terbaik bagi perlawanan malam ini.
"Apabila kita sudah berhenti bermain, kita akan jadi geram melihat orang lain bermain. Jadi, apabila dapat membuat kemunculan kembali, ia sesuatu yang tidak dijangka," katanya lagi.
Keutamaan Sharbinee adalah pentas Liga Super untuk dia kembali membuat kemunculan bersama skuad negara, bagaimanapun, ia masih jauh daripada rencananya.
;