Skip to main content

Bola Sepak

Shakhtar Donetsk pamer kebangkitan di laman sendiri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

shakhtar-cropped_aaqcy9xcqo2a1lf2f6napq5lf.jpg
SHAKTAR DONETSK 2 AS ROMA 1

AS Roma berdepan misi besar menjelang aksi timbal balik di Rome pada 14 Mac ini selepas tewas 1-2 di tangan Shakhtar Donetsk dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Metalist, awal pagi tadi.


Roma, yang dikendalikan oleh Eusebio Di Francesco, bertandang ke tempat lawan dengan rekod bersih bagi bulan Februari selepas merakamkan tiga kemenangan dalam aksi sebelum ini.

Namun, Donetsk hampir mengejutkan pelawat ketika aksi berusia tiga minit apabila gerakan pertahanan kiri, Ismaily, membolehkan Bernard melakukan hantaran lintang buat penyerang, Facundo Ferreyra, tetapi pemain dari Argentina itu gagal menyempurnakan peluang tersebut.

Tandukan pertahanan, Konstantinos Manolas, pada minit ke-20 hampir memberikan pendahuluan buat Roma selepas menerima umpanan Aleksandar Kolarov, namun bola sekadar melewati palang gol.

Gol yang ditunggu akhirnya tiba ketika aksi berbaki empat minit menuju bilik persalinan, apabila penyerang utama Roma, Edin Dzeko, bijak melorongkan bola buat Cengiz Under sebelum pemain sayap Turki itu mudah menewaskan penjaga gol, Andriy Pyatov, sekali gus menjadikan kedudukan 1-0 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah melancarkan asakan bagi memburu gol penyamaan dan usaha itu berhasil menerusi Ferreyra selepas melepasi halangan Manolas untuk melepaskan percubaan menewaskan Alisson, menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-52.

Minit ke-71 menyaksikan giliran Donetsk untuk berada di depan apabila peluang menerusi sepakan percuma disempurnakan oleh Fred yang bijak melencongkan bola untuk menewaskan Alisson buat kali kedua.

Keadaan menjadi tegang pada minit terakhir perlawanan apabila Taison dilihat menyiku pemain sayap Roma, Diego Perrotti, sehingga mewujudkan perbalahan dan kedua-duanya dilayangkan kad kuning.

Ferreyra hampir mencatat jaringan kedua peribadi sebelum wisel penamat dibunyikan apabila gerakan licik Fred di sebelah kanan memberikan ruang buatnya tetapi Alisson tangkas menafikan gawangnya daripada dibolosi buat kali ketiga.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, William Collum, yang memberikan tuan rumah sedikit kelegaan sebelum menghadapi aksi kedua di Rome, bulan depan.

Advertisement

Must Watch Video