LIGA SUPER MSIA
Shahrel Fikri, Syahir sumbang jaringan kemenangan Selangor
Selangor berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Percaturan membawa masuk pemain gantian, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Syahir Bashah di pertengahan separuh masa kedua berjaya membantu Selangor untuk meraih tiga mata penuh.
Penang yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Syukri Hamid dilayang kad merah turut menghadirkan kelebihan buat skuad Merah Kuning.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, namun peluang terbaik berjaya dihasilkan menerusi Herlison Caion yang sekadar melewati palang.
Tempo permainan dipertingkatkan sejurus perlawanan bersambung rehat separuh masa, dengan Penang hampir menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville, namun percubaan Hilal El-Helwe sedikit tersasar di minit ke-50.
Terjahan Syukri ke arah Mukhairi Ajmal memaksa pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kedua untuk diarah keluar padang.
Pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner, mengubah corak permainan Selangor dengan memasukkan Shahrel akhirnya membuahkan hasil apabila dia meledak gol pada minit ke-73 selepas memanfaatkan hantaran Alexander Agyarkwa sebelum Syahir yang menghasilkan gol kedua pasukan bagi memastikan Selangor menamatkan perlawanan dengan kemenangan di laman sendiri.