Serie A: Gol penalti lewat permainan Spezia hukum ketumpulan Inter Milan

Muzaffar Musa
Mac 10, 2023 07:29 MYT
SPEZIA 2 INTER MILAN 1
Gol sepakan penalti M'Bala Nzola menghukum ketumpulan Inter Milan, sekali gus memberikan pasukan yang sedang bergelut di kelompok bawahan Serie A, Spezia, kemenangan 2-1 awal pagi tadi.
Kekalahan itu juga menyaksikan impian Nerazzurri untuk bergelar juara liga musim ini kian berkejauhan selepas tewas buat kali pertama di Stadio Alberto Picco.
Bartlomiej Dragowski menyelamatkan sepakan penalti Lautaro Martinez pada awal pemainan dan ia memberikan petanda ketumpulan jentera serangan Inter akan menghukum mereka biarpun pasukan di tangga kedua Serie A itu menguasai hampir keseluruhan permainan.
Daniel Maldini, pemain yang dipinjam daripada seteru tradisi Inter, AC Milan, meletakkan Spezia di depan hanya selepas 10 minit dimasukkan pada awal babak kedua tetapi satu lagi sepakan penalti yang diraih Inter tidak disia-siakan Romelu Lukaku untuk mengikat kedudukan pada minit ke-83.
Nzola, bagaimanapun, memutlakkan kemenangan pasukannya dengan jaringan sepakan penalti selepas Denzel Dumfries didapati mengasari Viktor Kovalenko dan kekalahan itu turut menyaksikan Inter kekal ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Serie A, Napoli.
#bola sepak #Serie A #Inter Milan #Spezia
;