Stadium Olimpik Rom menjadi saksi dua layangan kad merah dalam satu masa diberikan kepada Cagliari susulan kekasaran Yerry Mina dan tindakan biadap Michel Ndary Adopo kepada pengadil dalam aksi menentang Lazio awal pagi tadi.
Tatkala lawan masih berada dalam 'mood' pemanasan, muncul pemain tengah Lazio, Boulaye Dia, yang menyempurnakan gol pembuka tirai menerusi sepakan percuma pada minit kedua perlawanan itu.
Bola yang pada awalnya berjaya disambut Simone Scuffet terlepas daripada cengkamannya dan peluang itu tidak dibiarkan lama untuk pemain kelahiran Perancis itu menolak bola ke arah gawang gol.
Berbaki empat minit sebelum ke bilik persalinan, gandingan Antoine Makoumbou dan Zito Luvumbo meledak bola yang meleret masuk ke pintu gol untuk mata penyamaan 1-1.
Tatkala kedua pasukan sedang giat mencari peluang, satu kekasaran yang dilakukan Nadir Zortea memberi ruang sepakan penalti buat skuad kendalian Marco Baroni pada minit ke-70.
Aksi mengelirukan Mattia Zaccagni di hadapan gawang gol berjaya menambah satu lagi jaringan untuk membawa pulang tiga mata buast Lazio hasil kemenangan 2-1, sekali gus kekal di kedudukan kelima dalam carta Serie A.
Perlawanan ditamatkan dengan layangan dua kad merah buat dua pemain tengah Cagliari yang bertindak mengasari pemain jersi nombor 11, Taty Castellanos, dan membantah tindakan pengadil atas layangan kad merah itu.
Husna Zainudin
Tue Nov 05 2024