'Seperti mati hidup semula' -- Faiz Subri sah kembali sarung jersi Penang

Muzaffar Musa
Oktober 24, 2021 22:26 MYT
Selepas tiga tahun tanpa pasukan, pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri, akan kembali mewarnai kancah Liga Malaysia selepas sah mengikat kontrak setahun bersama Penang FC.
Menariknya, Faiz memenangi Anugerah Puskas sewaktu bersama Pulau Pinang pada 2016 dan kini akan kembali mewakili pasukan itu -- yang dijenamakan semula sebagai Penang FC -- selepas meninggalkannya pada 2019.
Menerusi satu wawancara bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Perbincangan ini sudah lama berlaku, sudah empat bulan sebelum ia diumumkan hari ini.
"Antara sebab saya memilih pasukan Penang, saya pernah mewakili mereka selama empat musim dan daripada itu, saya berasakan inilah peluang saya untuk melakukan penampilan semula.
"Ia boleh dikatakan seperti mati hidup semula, macam tak percaya juga ada kerana saya pun sudah tiga musim (tanpa pasukan).
"Mungkin ini rezeki yang telah Allah SWT tentukan, jadi saya perlu menunjukkan apa yang saya ada," katanya.
Faiz juga tidak menolak untuk mengakhiri kariernya sebagai pemain bersama pasukan Harimau Kumbang itu.
"Insya-Allah, selagi khidmat saya diperlukan, saya akan bermain dan mungkin akan bersara bersama Penang FC," katanya lagi.
#Faiz Subri #Liga Super Malaysia #Piala Malaysia #Penang FC
;