PIALA FA

Selangor temui rentak kemenangan

Penulis Jemputan 05/03/2018 | 05:09 MYT
Selangor kembali menemui sentuhan kemenangan selepas membenam MOF FC 3-0 dalam aksi Piala FA, semalam.
The Red Giants mara ke pusingan ketiga Piala FA hasil kemenangan itu ke atas pasukan dari Liga FAM, MOF FC, di Stadium KLFA, Cheras.
Kemenangan ini sekali gus menjadi peningkat semangat pemain-pemain selepas menempuhi dua kekalahan dalam saingan Liga Super kepada Terengganu dan Pahang.
Amri Yahyah, Rufino Segovia dan Syahmi Safari muncul penjaring gol buat Selangor.
Pengendali pasukan, P. Maniam, menyifatkan terdapat ruang yang boleh diperbaiki pasukannya selepas gagal meraih jaringan di awal permainan tetapi tetap berpuas hati dengan kemenangan ini.
"Di awal permainan, kami masih lagi kurang tajam di depan gol. Selangor telah meningkatkan mutu permainan selepas perlawanan bersambung dan berjaya meraih tiga gol," katanya.
Sementara itu, jurulatih MOF, Razip Ismail, akur pengalaman serta tahap Selangor jauh lebih tinggi daripada skuad kendaliannya merupakan pemisah di antara kedua-dua pasukan.
"Sukar untuk menandingi Selangor, ia membuktikan mereka berada di tahap yang berbeza daripada kami. Selangor menurunkan semua import dalam perlawanan ini dan pengalaman menjadi perantara untuk perlawanan ini," kata Razip.
Kredit: FA Selangor
;