Selangor rindu sentuhan berbisa Faisal Halim
Julai 23, 2024 14:50 MYT
Selangor merindui sentuhan berbisa Faisal Halim selepas pasukan itu kini berdepan prestasi kurang memuaskan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kehilangan Faisal yang terpaksa berehat panjang akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu sememangnya dirasai.
Menurutnya, Selangor amat menantikan kepulangan pemain sayap itu bersama skuad Gergasi Merah untuk memastikan serangan hadapan pasukan kembali tajam.
"Perkara ini (prestasi kurang memuaskan Selangor) berlaku tanpa Faisal Halim. Apabila beliau kembali mungkin dari segi keputusan akan berbeza daripada yang kita hadapi ketika ini.
"Faisal adalah penjaring gol terbanyak pemain tempatan tahun lepas, 12 gol dan 10 bantuan gol. Tetapi sudah tentu, perkara sebegini (insiden Faisal disimbah asid) tidak dijangka dan kita perlu laluinya.
"Namun, saya percaya pasukan akan dapat bangkit kembali. Sekarang ini kita cuba menambah baik prestasi pasukan dari semasa ke semasa," katanya menerusi Sinar.
Pemain berusia 26 tahun itu masih dalam proses fisioterapi dan sudah menjalani latihan ringan di pusat latihan Selangor.
Selangor ketika ini berdepan prestasi kurang memuaskan berikutan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan terakhir sehingga menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan penyokong.-Sinar