Selangor FC waspada kelibat Shahrel Fikri, Safuwan
Shaiful Shamsudin
April 3, 2023 19:37 MYT
April 3, 2023 19:37 MYT
Selangor FC perlu berwaspada ketika melayani kunjungan Negeri Sembilan FC berikutan kemenangan memberangsangkan dalam 'derby' Lembah Klang.
Pertemuan minggu ketujuh Liga Super pada malam esok itu juga akan menyaksikan bekas dua pemain Gergasi Merah, Shahrel Fikri Fauzi dan Safuwan Baharuddin, kembali berdepan skuad lama mereka.
Justeru, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, menuntut barisannya supaya mengekang kelibat kedua-dua bekas pemain terbabit.
"Kedua-dua pemain pernah bermain dengan Selangor, mereka sudah pasti tahu mengenai kekuatan dan kelemahan kami.
"Apa pun kami tetap fokuskan untuk dapatkan satu keputusan positif kerana Safuwan dan Shahrel Fikri memberi impak baik kepada Negeri Sembilan," katanya dalam sesi latihan malam tadi.
Begitupun, Cheng Hoe turut menegaskan ada ruang untuk anak buahnya meningkatkan prestasi di awal musim Liga Super, meskipun hanya tewas dan seri sekali setakat ini.
"Banyak kerja rumah perlu ditingkatkan lagi kerana musim masih panjang.
"Selepas enam perlawanan, masih banyak yang perlu ditingkatkan.
"Keyakinan pemain nampak makin meningkat. Apa pun taktikal dan fizikal perlu ditingkatkan lagi kerana setiap perlawanan agak berbeza.
"Kami tidak boleh anggap perlawanan lepas menjadi satu jaminan kemenangan untuk perlawanan akan datang.
"Setiap pemain perlu bermain secara tekal dan kekalkan kekalkan tahap kecergasan terbaik," katanya.