Selangor FC terbang ke Bangkok lawan kelab Thailand
Sinar Harian
Januari 28, 2023 19:01 MYT
Januari 28, 2023 19:01 MYT
Selangor FC akan berkampung di Bangkok selama lima hari dalam misi menguji dua kelab Thailand bulan depan.
Skuad Gergasi Merah itu akan terbang ke negara jiran berkenaan bagi siri jelajah pramusim dari 5 hingga 10 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, berkata pasukan itu akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Ratchaburi FC dan PT Prachuap.
Menariknya, Ratchaburi FC adalah pasukan yang diwakili Safawi Rasid manakala PT Prachuap pula melibatkan seorang lagi pemain negara, Junior Eldstal.
“Selangor FC akan menentang dua pasukan kelab yang beraksi di Thailand, iaitu Ratchaburi FC dan PT Prachuap, selepas kejohanan Piala Harapan 2023.
“Kami akan berada di Thailand mulai 5 Februari dan dijangka berakhir pada 10 Februari ini,” katanya dalam majlis memperkenalkan jersi Selangor FC di Shah Alam hari ini.
Sebelum berkampung di Bangkok, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan memeriahkan Piala Harapan di Pulau Pinang dari Rabu hingga Sabtu depan.
Kejohanan itu melibatkan tiga lagi pasukan, iaitu skuad tuan rumah, Penang FC, selain Kedah Darul Aman FC dan kelab dari Singapura, Geylang International FC.
Menjelang sepak mula Liga Malaysia pada 24 Februari ini, semua pasukan giat memantapkan skuad masing-masing menerusi aksi persahabatan di dalam dan luar negara.
Beberapa kelab turut menjadikan negara Gajah Perang itu sebagai medan ujian termasuk Sri Pahang FC dan Sabah FC, manakala skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) pula ke Dubai.
Kredit: Sinar Harian