Selangor FC dan Terengganu FC sepakat tunda aksi

Afiq Azfar
September 13, 2024 12:03 MYT
Selangor FC dan Terengganu FC mencapai persetujuan untuk menunda aksi Liga Super Malaysia minggu ke-11 (LS11) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 September.
Permohonan penundaan itu berikutan jadual padat yang diharungi pasukan Selangor FC di mana mereka akan memulakan aksi Liga Juara-Juara Asia 2 menentang kelab dari Thailand, Muang Thong United pada 19 September.
Mengikut jadual asal, Selangor FC tidak mempunyai masa rehat yang cukup untuk kembali beraksi menentang Terengganu FC pada 21 September sekembalinya mereka dari Thailand.
Menerusi kenyataan kelab, Selangor FC perlu bermain menentang Muang Thong United pada 19 September, mengharungi perjalanan pulang ke KLIA dan Kuala Terengganu pada 20 September, dan beraksi menentang Terengganu FC pada 21 September.
Permohonan penundaan ini pada awalnya turut dipersetujui oleh Terengganu FC sebelum MFL turut mengesahkan permohonan ini melalui hantaran terbaharu mereka.
Tarikh baharu perlawanan Liga Super Malaysia (LS11) di antara Terengganu FC dan Selangor FC dijadualkan pada 28 September 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

#liga super #Liga Super Malaysia #Terengganu FC #MFL #Selangor FC
;