'Home of Selangor FC' akan dilengkapi fasiliti canggih bertaraf dunia apabila pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam bagi menggantikan Stadium Shah Alam sedang giat dijalankan.

Kerja-kerja merobohkan Stadium Shah Alam telah bermula oleh kontraktor Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) selepas permit kelulusan diberikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menerusi pembangunan tersebut, Stadium Shah Alam yang dijenamakan semula menjadi Kompleks Sukan Shah Alam itu akan memiliki padang boleh-alih (retractable pitch) yang pertama di Malaysia, selain bakal mempunyai kemudahan fasiliti canggih yang lain seperti pusat latihan, pembinaan hotel, pusat membeli belah dan serta bangunan komersial untuk menjana ekonomi apabila kesemua fasa pembinaan siap sepenuhnya.

Selain itu, tahap kebolehcapaian (accessibility) turut dipertingkat apabila kemudahan plaza parkir dan terminal bersepadu turut dibina untuk menghubungkan stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi memudahkan pengunjung untuk hadir menggunakan rangkaian pengangkutan awam.

Fasa pertama pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam dijangka siap pada penghujung tahun 2026.