'Selangor dulu bukan yang sekarang' -- Yunus
Ammar Hakim
Disember 17, 2023 09:29 MYT
Disember 17, 2023 09:29 MYT
Pengendali PDRM FC, Datuk Ahmad Yunus Alif, menyifatkan dua keputusan positif diraih The Cops dalam tiga perlawanan berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia musim ini tinggal sebagai satu sejarah.
Sebaliknya bekas pemain tengah Harimau Malaya era 70-an hingga 80-an itu menegaskan The Red Giants kali ini lebih segar selepas mengesahkan slot ke saingan Asia musim depan.
“Sejujurnya, rekod tiga pertemuan menentang Selangor sebelum ini seimbang buat kedua-dua pasukan walaupun PDRM menang dua daripada perlawanan tersebut.
“Biarpun begitu semuanya kini sejarah apabila kita akan berdepan Selangor yang lebih bersemangat setelah mengesahkan slot ke saingan Asia musim depan.
“Pada saya, satu penghormatan kepada pemain-pemain PDRM untuk membuktikan sesuatu apatah lagi berpeluang berdepan pasukan Selangor sekali lagi,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan Lembah Klang tersebut.
Sebagai rekod, The Cops pada musim ini memiliki rekod cemerlang berdepan The Red Giants kendalian Tan Cheng Hoe tersebut sebelum ini akan berentap sekali lagi pada Ahad.
Tiga pertemuan sebelum ini menyaksikan PDRM menang 1-0 saingan Liga Super, dan 2-1 aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia namun tewas agregat 3-5 setelah tewas 1-4 perlawanan pertama.
The Cops kendalian Yunus pada ketika ini mengumpul 37 mata manakala Selangor yang telah mengesahkan slot ke pentas Asia musim depan mengutip 58 mata selepas mengharungi 25 perlawanan liga.
Sementara itu, Yunus juga mahu juara Piala Cabaran tersebut memanfaatkan perlawanan berdepan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan noktah kemenangan sebelum saingan Liga Super melabuh tirai musim ini.
Malah, Yunus sekali lagi mengingatkan para pemain The Cops untuk mengekalkan tahap disiplin tinggi seperti ketika menewaskan Kelantan FC baru-baru ini bagi memperbaiki kedudukan liga pasukan tersebut.-Sinar Harian