Dalam dunia perpindahan bola sepak yang serba dinamik, elemen kesetiaan dan komitmen sering kali menjadi ciri-ciri yang didambakan penyokong terhadap pemain kesayangan mereka. Kedua-dua elemen ini kini menjadi satu tanda tanya besar buat pemain yang bernama Romelu Lukaku.
Sepanjang jendela perpindahan musim panas ini, kontroversi demi kontroversi mengaitkan Lukaku menyebabkan penyokong kelab Inter Milan meragui kesetiaan dan kesungguhannya meskipun dahulu dia diangkat sebagai seorang wira.
Pada saat ini, penyerang Belgium itu nyata telah menimbulkan perdebatan mengenai motif sebenarnya dan sifat kesetiaan dalam bola sepak moden.
Jika disingkap kembali, perjalanan Lukaku bersama Inter bermula dengan cemerlang pada 2019 hingga 2021 apabila meledak sebanyak 64 gol dalam 95 perlawanan, sebelum akhirnya memutuskan untuk berpindah ke Chelsea dengan yuran setinggi £97.5 juta (RM570 juta).
Malang sekali, ketidaksesuaiannya dengan corak taktikal pengurus Chelsea ketika itu, Thomas Tuchel, mendorongnya untuk memberi satu temu bual penuh kontroversi, di mana dia mengakui masih merindukan Inter dan ingin kembali ke pangkuan kelab itu.
Hajatnya ituInter tunaikan melalui pinjaman selama semusim, dan Lukaku membalasnya dengan menjaringkan sebanyak 14 gol dalam 34 penampilan.
Inter turut berkesempatan untuk sampai ke final Liga Juara-Juara UCL musim lalu, malangnya kecundang 0-1 di tangan Manchester City, di mana persembahan Lukaku dikritik hebat kerana bukan sahaja terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol, malah turut menjadi penghalang tandukan rakan sepasukan, Federico Dimarco yang sepatutnya menjadi gol penyamaan buat Inter.
Di sebalik kekecewaan itu, rata-rata penyokong percaya Lukaku masih akan kekal bersama Inter kerana dia sendiri menyatakan dengan jelas bahawa dia tidak rela untuk kembali ke Chelsea dalam apa jua keadaan sekalipun.
Malang sekali, sewaktu Inter sedang berunding hal pembelian Lukaku beberapa minggu lalu, mereka dikejutkan dengan berita yang penyerang itu sedang turut sama berunding secara rahsia untuk berpindah ke seteru Inter, Juventus.
Akhbar Daily Mail melaporkan keputusan mengejut ini adalah gara-gara Lukaku berang terhadap keputusan pengurus Inter, Simone Inzaghi, untuk tidak menjadikan dia sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan akhir UCL menentang City itu.
Perkara ini cukup menghairankan kerana hanya tiga bulan lalu, Lukaku pernah menjadi mangsa kecaman berunsur perkauman oleh penyokong Juventus yang mencemuhnya dengan panggilan ‘monyet’ dan mengakibatkan 171 penyokong tersebut menerima hukuman larangan daripada memasuki stadium.
Susulan daripada pendedahan ini, penyokong Juventus berkumpul di hadapan pusat
perubatan Juventus dan melaungkan ungkapan ‘Kami tidak mahu Lukaku!’, manakala kumpulan Ultras Inter, Curva Nord, menyelar Lukaku menerusi ciapan Twitter yang cukup pedas.
‘Kamu balas jasa kami dengan tikaman dari belakang’.
‘Dahulunya kamu mencium lencana kelab kami tetapi kini kamu menjual diri kepada pembida tertinggi, bagaikan seorang askar upahan semata-mata.
‘Sebelum kamu boleh menjadi seorang pemain hebat, kamu haruslah terlebih dahulu menjadi seorang lelaki tetapi kamu bukanlah lelaki sejati.
‘Selamat tinggal, pengkhianat.’
Terbaru, laporan pelbagai sumber media menyatakan Lukaku sedang berlatih seorang diri di
Chelsea kerana semua ahli pasukan kelab itu sudah berlepas ke jelajah pra-musim di
Amerika Syarikat, meninggalkan penyerang kontroversi itu bersendirian memikirkan nasibnya yang masih tidak diketahui hala tuju buat masa ini.
Juventus dilaporkan masih berminat untuk mendapatkannya tetapi enggan membayar harga yang terlalu tinggi dan rela menunggu sehingga jendela perpindahan hampir tamat waktunya sebelum melakukan bidaan terakhir.
Lukaku turut dilaporkan tidak berminat untuk berpindah ke Arab Saudi meskipun ura-ura mengatakan kelab Al-Hilal berminat menawarkan harga £43 juta (RM196 juta) manakala keputusan Inter masih belum jelas.
Meski berjaya ke Juventus sekalipun, bolehkah Lukaku menjamin dirinya bahagia bersama pasukan baru jika sebegini layanan yang sudah dia terima daripada penyokong?
Lebih lucu lagi, jika tawaran tidak kunjung tiba dari mana-mana pihak, Lukaku akan kembali terperangkap bersama Chelsea yang dibencinya.
Apa yang nyata, saga dan drama yang melibatkannya harus memberi pangajaran bahawa
Sebagaimana pun seseorang pemain melafazkan kesetiaan dan rasa sayang terhadap kelab, segalanya boleh berubah dalam sekelip mata jika niatnya hanyalah demi memburu kemegahan peribadi semata-mata.
Asmawi Bakiri
Sat Jul 29 2023