Skip to main content

Bola Sepak

Schurrle sertai Fulham secara pinjaman

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

schurrle.jpg
Andre Schurrle, juara Piala Dunia bersama Jerman pada 2014, menyertai Fulham secara pinjaman selepas gagal mendapat tempat di Borussia Dortmund.

Pemain sayap itu hanya menjadi penonton dalam kemenangan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) Dortmund ke atas Manchester City minggu lalu, dengan kelab itu mengesahkan dia tidak akan terlibat selepas "dikecualikan kerana sedang berunding dengan kelab lain".

Crystal Palace dan AC Milan turut dikaitkan dengan pemain berusia 27 tahun itu yang mencipta bantuan gol kemenangan Mario Gotze dalam perlawanan akhir Piala Dunia empat tahun lalu.

Begitupun Fulham -- yang meraih promosi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) melalui aksi play-off musim lalu -- memenangi perlumbaan untuk menandatanganinya. 

Ia menyaksikan Schurrle kembali ke kancah EPL selepas tiga tahun kembali ke Jerman dan bekas pemain Chelsea itu teruja dengan karier di Craven Cottage.

"Saya sangat senang berada di sini, saya tidak sabar untuk bermula. Fulham merupakan kelab pertama yang menunjukkan minat terhadap saya -- ia sesuatu yang saya amat hargai dan salah satu sebab saya mahu datang ke sini," ujar Schurrle kepada fulhamfctv.

"Saya gemar mempunyai kawalan permainan, saya suka menyerang dan saya suka membuat larian, jadi saya fikir ini mungkin langkah yang sempurna.

"Saya perlu berjuang untuk merebut tempat dan saya perlu mempamerkan kualiti supaya saya dapat menjadi tonggak yang benar-benar membantu pasukan."

Naib Pengerusi Fulham, Tony Khan, yakin bahawa Schurrle mampu menjadi pemain yang menyuntik pengalaman terbaik dalam skuad kendalian Slavisa Jokanovic itu selepas mereka meraih kemenangan dalam aksi play-off dengan Aston Villa pada Mei lalu. 

"Andre menjadi sasaran utama kami dan mempunyai tawaran daripada kelab lain di seluruh Eropah, jadi saya sangat gembira usaha kami berjaya," katanya.

"Dia memiliki pengalaman luas, pernah bermain dalam EPL, Bundesliga dan pasukan kebangsaan Jerman, termasuk skuad yang memenangi Piala Dunia 2014.

"Kami sangat gembira bahawa kami telah mencapai persetujuan untuk mengikat Andre memandangkan dia mempunyai kebolehan yang telah terbukti serta memiliki kemahirannya yang luar biasa. Tidak sabar untuk melihatnya menyarung jersi Fulham."

Advertisement

Must Watch Video