LIGA INGGERIS
Saya tidak tahu kelab apa lagi yang tinggal -- Sampaoli
Jorge Sampaoli percaya dalam masa terdekat ini, tiada lagi kelab yang tinggal untuk dikaitkan dengan namanya dengan spekulasi mengenai masa depan jurulatih itu bersama Sevilla sekali lagi mencetuskan tanda tanya.
Bekas pengendali Chile itu menggantikan Unai Emery di Ramon Sanchez Pizjuan pada awal musim ini, namun belum sempat musim pertamanya berakhir, dia telah pun dikaitkan dengan kelab lain di Eropah.
Tatkala Luis Enrique bakal berundur daripada jawatan pengurus Barcelona hujung musim ini, ramai yang berpendapat Sampaoli adalah calon tepat bagi mengisi tugas itu sementara persoalan mengenai masa depan Arsene Wenger di Emirates turut mencetuskan andaian sama.
Iklan
Bukan itu sahaja, Sampaoli turut dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Argentina dan Belanda setelah pemecatan Edgardo Bauza dan Danny Blind.
"Saya ulangi, saya tidak ada masa untuk membicarakan tentang masa depan saya," ujar Sampaoli ketika sidang media menjelang aksi berdepan Valencia, esok.
"Mereka kaitkan saya dengan Barcelona, Belanda, PSG dan Arsenal; saya tidak tahu pasukan mana lagi yang tinggal untuk dikaitkan dengan saya."
Minggu ini, Sevilla mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menerima dengan baik andai Persatuan Bolasepak Argentina cuba memikat Sampaoli.
"Jika Sevilla perlu mengeluarkan kenyataan setiap kali nama saya dipetik, mungkin mereka perlu membuat kenyataan baru hampir setiap hari," tambah Sampaoli.
"Jika ada apa-apa perkembangan, orang pertama yang saya akan maklumkan adalah presiden Sevilla.
"Fokus saya adalah mencari jalan terbaik untuk menewaskan Valencia.
"Apa yang berlaku ketika ini hanyalah spekulasi dan segala kenyataan dibuat kelab ini tiada kaitan dengan saya."
Must-Watch Video