LIGA SUPER MSIA
Saya suka nasi lemak, nasi ayam -- Bruno Suzuki wajib ke bazar Ramadan
12 Mac 2024 bersamaan 1 Ramadan 1445H merupakan tarikh keramat bagi semua ummat Islam di dunia mahupun Malaysia dan pastinya tidak ketinggalan buat pemain import PDRM FC, Bruno Suzuki meraih pengalaman menjalani ibadah puasa pertamanya pada Selasa.
Bruno, 31, yang memeluk agama Islam pada Ogos tahun lalu nampaknya cukup gembira dapat menyempurnakan ibadah rukun Islam ketiga itu dengan sukses sekali walaupun agak mencabar untuk mengharungi hari pertama itu pada awalnya.
Pada Ogos tahun lalu, penyerang kelahiran Brazil yang memiliki darah Jepun dari sebelah ibunya mengucap kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M Rajoli juga disaksikan oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur (KL), Senior Asisten komisioner Noor Hisam Nordin serta barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC.
Iklan
Bruno antara pemain import yang paling lama berada di negara ini dan pernah beraksi bersama pasukan seperti Negeri Sembilan pada 2017 dan Terengganu FC dari 2018 hingga 2020.
Setiap kali tiba Ramadan Bruno tampak gemar ke bazar bagi mencari juadah berbuka termasuk ketika sebelum memeluk Islam.
Melalui satu hantaran Bruno di aplikasi X, nampaknya dia memaparkan beberapa gambar dan video ketika pergi ke bazar Ramadan.
"Saya suka pergi bazar, sebelum masuk Islam pun saya selalu pergi untuk mendapatkan juadah makanan. Banyak pilihan yang ada dan saya suka makan nasi lemak dan nasi ayam.Bazar Ramadan pic.twitter.com/4aQmHB3oyq— Bruno Suzuki (@brunosuzuki9) March 15, 2024
"Murtabak pun saya makan kerana ia macam roti canai dan sungguh sedap. Sekarang saya sudah mula berpuasa dan aktiviti ke bazar adalah acara wajib," katanya.
Mengulas mengenai pasukan, Bruno akui meletakkan sasaran peribadi pada musim ini dengan mahu meledak lebih banyak gol buat skuad Sang Saka Biru.
"Musim lalu saya menjaringkan 10 gol. Bagi musim ini, saya mahu menjaringkan lebih banyak gol sekurang-kurangnya 15 gol pada musim ini dan memastikan PDRM FC dapat menamatkan saingan di lima kelompok terbaik."
Must-Watch Video