LIGA SUPER MSIA

Saya harap dapat kembali semula -- Bekas jurulatih Selangor

30/01/2025 | 01:00 MYT
“Saya suka tentang projek, pasukan yang memikirkan tentang sesuatu projek yang ada jalan kerja untuk setahun dua tahun menumpukan kepada aspek pembangunan.”

Itu reaksi bekas pengendali gergasi Liga Super, Selangor, Nidzam Jamil, yang menyatakan kesediaan untuk melakukan penampilan semula dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Ini bukan sahaja mengenai pemain tetapi juga pelatih, saya sukakan projek-projek seperti itu, dan saya harap dapat kembali semula selepas ini, insya-ALLAH.

“Tetapi itu bergantung sama ada terdapat kelab yang mahukan kita, itu persoalannya. Tapi sekali lagi saya terbuka berbincang tapi untuk musim depan,” katanya ditemui pemberita selepas pelancaran Bola Mental karya bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Bekas pemain pertahanan negara itu sebelum ini banyak meluangkan masa bersama keluarga selain memberi tumpuan kepada perniagaannya selepas tidak lagi mengendalikan The Red Giants, Oktober lalu.

Ketika ditanya desas-desus mengenai Negeri Sembilan, bekas pengendali Felda United itu tidak mahu mengulas lanjut sebaliknya menghormati peranan dilakukan rakan sejawatnya bersama skuad Hoben Jang Hoben tersebut.

“Saya tidak boleh nak komen apa-apa mengenai mana-mana kelab kerana saya hormat jurulatih yang sedang berada di sana.

“Mereka kini sedang berusaha gigih membawa pasukan ke arah yang lebih baik. Jawapan saya cuma tak ada apa-apa, sekadar bual-bual dengan beberapa kelab itu saja,” katanya. - Sinar Harian

#bola sepak #Liga Malaysia #Nidzam Jamil
;