Saya hampir putus asa -- Neymar dedah kecederaan ACL hampir paksa dirinya bersara
Ammar Hakim
November 21, 2024 07:54 MYT
November 21, 2024 07:54 MYT
Neymar mengakui terlintas mempertimbangkan untuk bersara selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) ketika mewakili Brazil tahun lalu.
Penyerang Al-Hilal itu hanya bermain 29 minit sejak Oktober lalu, apabila dia mengalami kecederaan lutut yang serius semasa kekalahan 2-0 kepada Uruguay dalam kelayakan ke Piala Dunia 2026.
Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kembali sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Esteghlal dari Iran dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) awal bulan ini, namun dia mengalami kecederaan hamstring dan kini dijangka diketepikan sehingga pertengahan Disember.
Bercakap semasa temu bual untuk dokumentari baharu Netflix Saudi Pro League: Kickoff, pemain berusia 32 tahun itu berkata kecederaan ACL dialaminya adalah yang paling teruk.
"Setiap hari apabila saya bangun, saya mahu berputus asa," katanya dalam dokumentari itu.
“Saya akui, kecederaan itu adalah yang paling menggemparkan saya dalam karier saya.
"Saya benar-benar sedih, dan sangat sedih daripada segi mental pada bulan pertama. Saya tahu ia adalah kecederaan serius dan jangka panjang. Berada di tepi padang adalah sukar.
"Saya mahu membengkokkan lutut saya secepat mungkin supaya saya dapat memulihkan pergerakan saya dan menghilangkan rasa sakit."
? Neymar undergoes scans pic.twitter.com/Gt7T4GxvKh
— AlHilal Saudi Club (@Alhilal_EN) November 6, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Neymar kemudian mendedahkan usianya menjadikan pemulihannya lebih sukar, sambil menambah, "Jika anda tidak mempunyai orang yang anda sayangi di sisi anda, keluarga anda, rakan anda, maka sukar untuk kembali daripada kecederaan seperti ini.
"Ia benar-benar mengganggu fikiran dan badan anda. Saya tidak lagi berusia 20 tahun, saya berusia 31 tahun ketika ia berlaku. Saya sangat bersyukur kerana ada rakan dan keluarga saya."