PIALA MALAYSIA

Saya bukan wira Sri Pahang -- Kpah Sherman

Muzaffar Musa 03/02/2025 | 12:47 MYT
Penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman, enggan mengangkat dirinya sebagai wira pasukan itu layak ke Piala Malaysia dengan menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Temerloh semalam.
Sebaliknya, pemain kebangsaan Liberia itu memberikan kredit kepada kesemua rakan sepasukannya, yang telah berjuang bermati-matian demi merealisasikan misi Tok Gajah ke final edisi ke-98 itu.
Dia turut mendedikasikan kejayaan itu kepada pihak pengurusan tertinggi Sri Pahang serta seluruh rakyat negeri itu, yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan pasukan mereka.
Meskipun pasukannya bakal berdepan laluan getir dengan menentang JDT dalam aksi final, dia percaya, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan tidak mustahil untuk skuad kendalian Fandi Ahmad itu mencipta kejutan di Bukit Jalil pada April ini.
"Ia usaha sepasukan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Malam ini, semua pemain Pahang telah memberikan 100 peratus dan itulah yang paling penting.
"Apabila anda memberikan 100 peratus dan terus berusaha, anda akan mendapat banyak keuntungan.
"Hari ini, saya akhirnya dapat menjaringkan gol dalam masa tambahan dan kemenangan ini buat seluruh penyokong Pahang dan semua yang sentiasa menyokong kami.
"JDT pasukan yang besar dan bagus tetapi ada 90 minit dalam final, segalanya boleh berlaku.
"Kami mahu bermain dan memberikan saingan, segalanya boleh berlaku."
Sebagai rekod, Kpah tidak dapat beraksi dalam aksi final itu berikutan penggantungan perlawanan.
#bola sepak #Sabah FC #Sri Pahang FC #Kpah #Sherman.
;