BOLA SEPAK
Saya beri segalanya -- Roberto teruja ledak gol kemenangan
Wira Barcelona, Sergi Roberto berkata dia memberikan segala-galanya untuk menjaringkan gol kemenangan tatkala pasukannya melakukan kebangkitan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah berdepan Paris Saint-Germain, awal pagi tadi. Roberto berjaya menyudahkan hantaran Neymar pada minit ke-95 untuk melengkapkan kebangkitan membantu Barcelona melakar kemenangan 6-1 di Camp Nou dalam aksi kedua pusingan 16.
Keputusan itu meletakkan anak buah Luis Enrique kembali daripada defisit empat gol untuk melakar kemenangan agregat 6-5 -- selepas tewas 4-1 dalam aksi pertama sebelum ini.
Roberto menjelaskan dia cuma memberikan segala yang termampu untuk mencapai hantaran Neymar itu.
Iklan
"Saya berikan segalanya. Saya tidak tahu sama ada saya ofsaid atau tidak. Saya sangat gembira," dia memberitahu beIN Sports.
"Saya merebahkan badan saya dan ketika itu saya melihat penjaga gol (Kevin Trapp) tidak cuba menyelamatkan gawang."
Perlawanan tersebut dilihat bakal menjadi milik PSG apabila Edinson Cavani meledak gol di tempat lawan, dengan pasukan tuan rumah sedang mendahului 3-0.
Roberto menambah: "Mereka berkata penyokong merupakan pemain ke-12 tetapi hari ini kami mendapat lebih daripada itu.
"Di akhir perlawanan, keputusan ini juga adalah untuk mereka. Selepas ini, kami perlu memberi fokus terhadap saingan LaLiga pada Ahad."
Must-Watch Video