David Moyes menyatakan bahawa dia masih belum bersedia untuk bersara daripada pengurusan bola sepak. Namun, David Moyes menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai langkah seterusnya akan dibuat dengan penuh pertimbangan.
Moyes telah dianugerahkan gelaran OBE dalam senarai Penghormatan Tahun Baru atas sumbangannya kepada bola sepak. Kini dia berada di kedudukan ketiga bagi jumlah perlawanan Liga Perdana Inggeris yang dikendalikan, iaitu sebanyak 697 perlawanan, hanya diatasi oleh Arsene Wenger (828) dan Sir Alex Ferguson (810).
Pengurus berusia 61 tahun itu telah mengendalikan sebanyak 1,150 perlawanan sepanjang kerjayanya. Perjalanannya bermula di Preston North End sebelum mencipta nama di Liga Perdana Inggeris bersama Everton pada tahun 2002.
Selain itu, Moyes turut pernah berkhidmat di Manchester United, Real Sociedad, Sunderland, serta menjalani dua tempoh sebagai pengurus West Ham United. Pengalaman luas itu menjadikan dia salah seorang pengurus dihormati dalam dunia bola sepak.
David Moyes telah berehat daripada pengurusan bola sepak sejak penggal keduanya bersama West Ham United berakhir pada Mei lalu. Sebelum ini dia berjaya membawa West Ham menjulang trofi Liga Persidangan Eropah UEFA pada musim 2022-2023, pencapaian yang menjadi sorotan dalam karier pengurusannya.
Sepanjang penggal keduanya bersama West Ham, Moyes mencatatkan 103 kemenangan daripada 231 perlawanan (seri 45, kalah 83), dengan peratusan kemenangan sebanyak 44.59%. Rekod ini merupakan yang ketiga terbaik dalam kerjayanya, selepas tempoh di Manchester United (52.94%) dan Preston North End (47.86%) dalam semua pertandingan.
Walaupun Moyes telah dikaitkan dengan beberapa peluang pekerjaan dan menerima beberapa tawaran musim ini, buat masa ini lebih selesa menikmati waktu rehatnya.
“Saya tidak menganggap diri saya sudah selesai, tetapi saya benar-benar menikmati sedikit masa untuk berehat,” kata Moyes kepada BBC Sport.
“Satu perkara yang saya tidak akan lakukan ialah memberi tekanan kepada mana-mana pengurus secara peribadi, kerana saya tidak percaya dengan tindakan itu. Saya juga tidak menyukainya apabila berada dalam situasi tersebut.
“Kita semua semakin berusia, dan saya perlu memastikan setiap keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik untuk diri saya sendiri. Bola sepak adalah sebahagian daripada hidup saya sejak kecil lagi. Saya sangat mencintai bola sepak dan telah menikmati perjalanan kerjaya saya.
“Jika ada bahagian lain dalam perjalanan karier ini, saya berharap ia adalah sesuatu yang positif. Saya tidak mahu terlibat dalam keadaan yang sukar atau berada di kedudukan bawah liga, berjuang untuk mengelak penyingkiran seperti yang pernah saya alami sebelum ini. Jadi, kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” tambah David Moyes.
Hanis Natasya
Wed Jan 01 2025