LIGA SUPER MSIA

Sathianathan sedia pertaruh Syahmi

Penulis Jemputan 06/07/2019 | 10:32 MYT
Pemain tengah Selangor, Muhamad Syahmi Safari, kembali dalam kesebelasan utama menjelang aksi dengan Felda United di Jengka, malam esok selepas pengendali Selangor, B. Sathianathan, berpuas hati dengan aksinya bertemu Pahang, minggu lalu.
Jurulatih itu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menurunkan pemain yang akan membantunya dalam baki saingan Liga Super yang masih tinggal musim ini.
Dia berang apabila dilabel sebagai pengendali yang tidak memmiliki cita cita tinggi, sebaliknya menggunakan pemain yang tidak memiliki prestasi terbaik sejak akhir-akhir ini.
Hakikatnya, istilah kecederaan umpama makanan ruji buat skuad yang sedang berperang dengan hasrat meraih kelompok tiga terbaik liga itu.
"Saya mungkin tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik, esok.
"Ini kerana ada pemain yang baru pulih daripada kecederaan, mungkin Syahmi akan membarisi skuad utama. Dia sudah mengikuti latihan penuh sejak dua minggu lalu.
"Saya berpuas hati dengan kecergasannya tetapi saya perlu tunggu sehingga pada saat-saat akhir kerana keputusan muktamad saya boleh berubah," katanya.
Menjelang aksi dengan Felda United, dia bersama pasukan tiada alasan lain selain meraih mata penting tatkala Sandro Da Silva, K. Sarkunan dan Ashmawi Yakin, tidak dapat beraksi ekoran cedera dan penggantungan.
"Sayangnya Ashmawi yang bermain bagus dalam tiga perlawanan sepanjang ketiadaan pemain utama tersisih enam minggu akibat kecederaan lutut.
"Inilah bola sepak dan usahlah pertikai kenapa dia tidak diturunkan," katanya lagi.
;