BOLA SEPAK

Sarina Weigmen dedah Beth Mead masih belum sedia dipanggil skuad kebangsaan England

Syen Yeoh 18/10/2023 | 07:34 MYT
Ketua jurulatih skuad wanita England, Sarina Wiegman, berkata Beth Mead belum bersdia untuk kembali mendapat panggilan skuad kebangsaan England menjelang dua pertemuan menentang Belgium dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bulan ini walaupun sudah kembali beraksi bersama Arsenal hujung minggu lalu.
Pemain sayap Arsenal, Mead, membuat penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan ACL pada November lalu apabila turun beraksi pada penghujung perlawanan dalam pertemuan di antara The Gunners dan Aston Villa di Stadium Emirates, yang menyaksikan dia membantu menghasilkan gol dalam kemenangan 2-1 itu.
Pemenang Anugerah Kasut Emas dan Pemain Terbaik Euro 2022 itu tidak tersenarai sebagai 25 pemain England yang diumumkan awal pagi tadi menjelang perlawanan menentang Belgium di Leicester, Jumaat depan dan Leuven empat hari kemudian.
Wiegman berkata dalam sidang media: "Sejujurnya, dia belum bersedia."
"Dia berada dalam keadaan yang baik sekarang. Setelah tidak bermain selama sembilan bulan, dia mendapat minit pertamanya, jadi ia sangat bagus untuk dilihat.
"Dia sangat gembira, penonton juga sangat gembira, jadi itu menyalurkan banyak tenaga.
"Bagaimanapun, saya rasa dia perlu membuktikan prestasinya di kelab dan mendapatkan konsistensi semula.
"Seterusnya, semestinya saya berharap dia bermain di tahap yang kami harapkan agar dia mendapat peluang untuk dipilih, dan dia mempunyai peluang untuk bersaing dengan pemain-pemain yang berada dalam pasukan."
Pilihan Wiegman turut menyaksikan Fran Kirby -- seorang lagi pemain yang tidak dapat menyertai perlawanan final Piala Dunia di Australia dan New Zealand musim panas lalu gara-gara kecederaan -- kini telah kembali ke pangkuan pasukan itu.
Kirby telah beraksi dalam tiga perlawanan Chelsea musim ini dan memulakan perlawanan ketika meraih kemenangan ke atas West Ham pada Sabtu lalu, di mana dia kembali beraksi selepas mengalami kecederaan lutut pada Februari lalu
Wiegman berkata: "Tentu saja amat bagus apabila dia kembali ke padang dan berada di tahap cergas dan sihat.
"Dia bermain dengan baik bersama Chelsea apabila dia kembali beraksi.
"Saya rasa dia telah membina momentum untuk saat-saat ini, juga semasa musim panas lalu dan dia telah menunjukkan kualiti yang mencukupi dalam prestasinya dan saya fikir ia adalah perkara yang baik apabila dia kembali ke pasukan ini."
#bola sepak #Arsenal #bola sepak wanita #Beth Mead #Sarina Weigman
;