PIALA TSR
Sarawak ke akhir Piala Tun Sharifah Rodziah jika kekalkan momentum
Menang 3-2 ke atas Sabah menerusi penentuan penalti membawa pasukan tuan rumah, Sarawak, ke saingan separuh akhir Piala Tun Sharifah Rodziah di Stadium Miri, hari ini.
Sarawak layak setelah menewaskan finalis dua tahun berturut-turut itu, selepas kedudukan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Hakimi Man bakal melayani sebuah lagi pasukan gergasi, PDRM, dalam saingan separuh akhir.
PDRM sebelum ini mengecewakan Pulau Pinang dengan jaringan 2-1.
Pengurus pasukan Sarawak, Khusairy Bujang, berkata berdasarkan prestasi semasa, dia yakin anak buahnya mampu mencapai sasaran ke perlawanan akhir.
"Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang pada peringkat kumpulan dan menewaskan Sabah, salah satu nama besar dalam kejohanan ini.
"Kerana itu saya optimis, mereka akan dapat mencipta kejayaan apabila melayan kehadiran PDRM, biarpun pasukan itu juga bukan calang-calang," katanya.
Bagi Hakimi, jika anak buahnya dapat mengekalkan momentum kemenangan ketika aksi pusingan awal dan menentang Sabah petang tadi, peluang untuk melangkah ke final adalah cerah.
"Saya berharap mereka dapat mengekalkan corak permainan sama, dan memberi tentangan kepada PDRM yang pernah menjuarai piala ini sebanyak tiga kali.
"Tinggal selangkah lagi untuk ke final. Saya berharap mereka bermain bermati-matian dan fokus dalam tempoh 90 minit itu, dan mencipta sejarah," katanya.