Sandro da Silva pulang ke Brazil dengan penuh hampa

Muzaffar Musa
Februari 8, 2022 21:03 MYT
Dijanjikan dengan sekeping kontrak, namun berubah dalam sekelip mata. Itulah yang berlaku kepada pemain import Sarawak United, Sandro da Silva, yang tiba di Malaysia pada 22 Januari lalu untuk menyambung kesepakatan dengan pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, dia kemudian menerima perkhabaran buruk bahawa namanya tiada dalam perancangan Sarawak United bagi saingan Liga Malaysia musim ini atas keputusan ketua jurulatih, E. Elavarasan.
Ia sesuatu yang amat mengecewakan pemain berusia 38 tahun itu, yang memilih untuk pulang ke negara asalnya, Brazil.
"Amat-amat sukar untuk diperkatakan tetapi esok saya akan pulang kerana kita tahu tiada kesepakatan di antara saya dan Sarawak," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.
"Saya sepatutnya memperbaharui kontrak saya seperti yang telah dibincangkan sebelum ini tetapi pada saat-saat akhir, saya fikir jurulatih telah memilih pemain lain.
"Jadi, slot pemain kelab ini sudah penuh. Ia mungkin satu salah faham tetapi di pihak saya, ia sesuatu yang tidak bagus kerana pasukan ini akan meneruskan saingan tetapi saya pula perlu pulang ke Brazil.
"Saya berasa sedih dengan beberapa orang di sini tetapi saya tidak mahu mendedahkan nama mereka," katanya.
Sandro mengakui ia mungkin menjadi pengakhiran buat kariernya memandangkan dia telah menolak beberapa tawaran pasukan lain kerana setia dengan janji yang ditaburkan Sarawak United.
"Benar, kerana sebelum ini saya memiliki beberapa pilihan dan mereka meminta saya menolaknya untuk kekal bersama mereka, jadi saya telah menolak tawaran yang saya terima demi mengikat kesepakatan bersama mereka.
"Tetapi pada saat-saat akhir, mereka mengubah segala-galanya.
"Ia sesuatu yang amat sukar buat saya kerana saya datang dari amat jauh. Ia boleh diselesaikan dengan panggilan telefon dan tidak perlu membawa saya ke sini, jadi saya berasa sedih," katanya.

Sandro da Silva pulang ke Brazil malam ini dengan hampa. Dia tiba di Malaysia pada 22 Januari lalu dengan janji kontrak di sambung bersama Sarawak United namun 3 hari kemudian dia di beritahu nama nya tiada dalam perancangan musim ini … ayooo 7.30malam ini di @ASTROARENA

— FinaNasrom (@fnasrom) February 8, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Sandro da Silva #Sarawak United
;