LIGA SUPER MSIA
Samassa galas tugas robek gawang Bos Gaurus
Pemain import dari Mali, Mamadou Samassa, akan diberi tugas untuk mengetuai jentera serangan T-Team susulan ketiadaan penyerang utama, Farhod Tadjiyev, yang digantung untuk perlawanan Liga Super bertemu Perak di Ipoh, malam esok.
“Tanpa khidmat Farhod, kami akan membuat perubahan di bahagian depan dan Samassa kini menjadi sandaran untuk mengepalai barisan muda pasukan ini.
“Ketua jurulatih (Rahmad Darmawan) juga memiliki ramuan berkesan untuk merencana dan memilih pemain untuk digandingkan dengan Samassa.
“Saya yakin pemain lain dapat mengisi kekosongan itu dengan baik,” kata penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim.
Berbaki tiga perlawanan bagi menamatkan pusingan pertama liga, Mohd Azhari turut mengakui tugas berat menanti The Titans dalam mencari slot ke Piala Malaysia.
“T-Team masih belum selamat (untuk ke Piala Malaysia) memandangkan selepas aksi dengan Perak, kami akan bertemu dua pasukan hebat, iaitu Kedah dan Selangor.
“Kami tidak boleh lagi keciciran mata dan pemain-pemain diharapkan beraksi dengan baik untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Ipoh,” ujarnya lagi.