LIGA SUPER MSIA
Samassa berehat empat bulan
Pemain import T-Team, Mamadou Samassa, terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya empat bulan akibat kecederaan ‘achilles tendon’ yang dialaminya ketika bertemu Kelantan, 11 Julai lalu.
Samassa, 31, mengesahkan perkara itu sendiri dan akan menjalani pembedahan di Paris, Perancis dalam masa terdekat.
Ketiadaannya dalam dua perlawanan terakhir begitu dirasai skuad kendalian Rahmad Darmawan itu selepas dimalukan 5-1 oleh Felda United (15 Julai) dan seri 1-1 dengan Pahang, tiga hari kemudian.
Mengakui terkilan tidak dapat membantu T-Team dengan prestasinya kini di tahap terbaik, Samassa percaya rakan-sepasukannya dapat mengharungi baki Liga Malaysia dengan positif.
“Saya akan ke Perancis pada Isnin dan berharap dapat kembali ke pasukan ini pada masa akan datang.
“Pemain-pemain lain boleh mengisi kekosongan di posisi saya meskipun sukar untuk kami beraksi dengan hanya tiga pemain import,” katanya.
Keadaan itu sudah tentu merunsingkan pengendali, Rahmad, dalam mempersiapkan pasukannya dengan berbaki enam perlawanan Liga Super musim ini serta saingan Piala Malaysia.
Rahmad turut mengakui jentera serangan pasukannya semakin tumpul dengan ketiadaan pemain kelahiran Mali itu.
“Boleh dilihat corak kami agak berbeza tanpa Samassa.
"Namun, saya berharap pemain-pemain lain boleh menggantikan tempatnya,” ujarnya.