UCL
Salah puji kehebatan rakan sepasukan
Mohamed Salah memuji aksi semua pemain Liverpool susulan kejayaan memadamkan jaringan awal Manchester City untuk menang 2-1 di Etihad, sekali gus mengesahkan tempat dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool merekodkan kemenangan 5-1 menerusi agregat dan memadamkan impian skuad kendalian Pep Guardiola itu.
Ketinggalan 3-0 dalam aksi pertama, City menjaringkan gol awal menerusi Gabriel Jesu, sebelum jaringan itu dipadamkan oleh Salah dan Roberto Firmino tatkala jaringan Leroy Sane dibatalkan secara kontroversi ketika aksi menuju penamat babak pertama.
Iklan
Jaringan pada minit ke-56 menjadi gol ke-39 buat pemain dari Mesir itu dan kin, dia telah melibatkan diri dalam 50 jaringan buat The Kop bagi musim 2017/18 tetapi baginya, keputusan adalah keutamaan.
"Mereka memberikan tekanan tinggi dan meraih banyak peluang tetapi kami bangkit, itu adalah faktor paling penting.
"Saya cuba untuk bermain bersama pasukan dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kerana bagi saya, itu perkara terpenting," kata Salah.
Dalam masa sama, James Milner turut berbangga dengan pasukannya yang dapat mengekang usaha City untuk bangkit dalam babak pertama.
"City adalah pasukan yang hebat dan mereka sering memberikan tekanan kepada kami. Mereka memperoleh peluang tetapi kami bangkit dalam separuh masa kedua.
"Semua orang tahu akan kehebatan City, jadi untuk menewaskan mereka memerlukan tahap keyakinan yang tinggi. Bagaimanapun, kami harus melakukan lebih baik dalam aksi seterusnya," ujar Milner.
Must-Watch Video