Penggempur berpengalaman, Safee Sali, menangguhkan persaraannya sambil menyatakan hasrat untuk bermain selama dua musim lagi sebelum gantung but sempena 20 tahun kelibatnya dalam karier bola sepak.

Bekas pemain tersebut masih dalam perbincangan dengan Kuala Lumpur (KL) City bagi kelangsungan penampilannya bersama juara Piala Malaysia 2021 itu pada musim depan.

Faktor fizikal nyata memainkan peranan utama yang mendorongnya untuk meneruskan karier dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Saya memutuskan bahawa masih boleh bermain, saya tidak pernah mengalami kecederaan yang serius. Badan saya masih lagi mampu menjalani latihan dan akan terus beraksi pada musim depan.





"Saya masih ingin bersama Kuala Lumpur, kami masih menjalankan perbincangan untuk musim depan dan seterusnya," katanya yang bakal berumur 38 tahun, bulan depan, di Nadi Arena sebentar tadi.

Nama Safee memuncak ketika dia beraksi dalam Liga Super Indonesia pada 2011 selepas mencipta sensasi dalam Piala AFF 2010 apabila muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol ketika Harimau Malaya muncul sebagai juara kejohanan.

Bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pula, Safee meraih lima gelaran Liga Super dan Piala AFC.