Sabah menang lagi di Likas
Willie Jude
Februari 9, 2018 22:44 MYT
Februari 9, 2018 22:44 MYT
SABAH 2 PDRM 0
Sabah terus menjadikan Stadium Likas sebagai gelanggang keramat mereka musim ini selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 dalam aksi Liga Perdana, sebentar tadi.
PRDM lebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah pada minit ketujuh menerusi Mohamad Hariz Fazrin, bagaimanapun percubaannya diselamatkan pejaga gol tuan rumah, Robson Rendy Rining, dalam keadaan satu lawan satu.
Pada minit ke-16, Maxsius Musa menceriakan lebih 5,000 penyokong Sabah selepas melakukan penyudah mudah dari luar kotak penalti gara-gara pergelutan di antara penjaga gol PDRM, Willfred Jabun, yang keluar daripada kawasannya dengan penyerang tuan rumah, Hector Ramos.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, pasukan tuan rumah garang di awal permainan dan memiliki peluang baik pada minit ke-52, bagaimanapun percubaan Maxsius tersasar walaupun penjaga gol lawan telah pun tertewas.
Pada minit ke-67, Heo Jaenyong menambah jaringan untuk Sabah bagi menjadikan kedudukan 2-0 hasil tandukan kencangnya selepas mendapat hantaran sepakan percuma daripada Sabri Sahar.
Kedudukan itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Ismail Asib Amin, meniupkan wisel penamat.
Dengan kemenangan itu, Sabah kini mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan hasil dua kemenangan dan sekali seri.
Keputusan lain:
MISC-MIFA 1 TERENGGANU FC II 0