Sabah FC menang nasib, kata ketua jurulatih
Shaiful Shamsudin
Julai 8, 2023 22:43 MYT
Julai 8, 2023 22:43 MYT
Datuk Ong Kim Swee mengakui Sabah FC berdepan detik cemas sebelum mengesahkan mata penuh ke atas Kuching City di depan penyokong sendiri petang tadi.
Sang Badak selesa mendahului 3-1 sebelum memerlukan gol masa kecederaan daripada tonggak import baru, Ramon Machado, untuk kemenangan 4-3.
Sehubungan itu, ketua jurulatih tersebut tidak menolak kejayaan dalam perlawanan ke-16 Liga Super berkenaan dipengaruhi elemen tuah untuk mereka mengekalkan rekod kebal di Stadium Likas.
"Kami mengambil mudah selepas mendahului.
"Ini kerap berlaku namun nasib menyebelahi kami pada malam ini.
"Dengan kesungguhan kami dapat gol kemenagan pada saat-saat akhir dan ini tidak harus berulang kerana selepas ini semua pasukan akan menambah baik pasukan mereka," katanya selepas perlawanan.
Sungguhpun melontarkan nada hampir sama, pengendali kelab dari Sarawak itu, Irfan Bakti Abu Salim, barisan pemainnya juga gagal memastikan amanatnya supaya mengelak sebarang kesilapan mudah.
"Inilah bola sepak terutama dalam babak kedua apabila kami cuba bangkit.
"Malangnya bola yang cuba dikeluarkan itu sangat-sangat lemah dan bagi saya ia sebuah gol nasib pada saat-saat akhir.
"Saya puji kesungguhan pemain tetapi mereka (Sabah) tidak ada apa-apa
tetapi kami melepaskan tiga gol dalam separuh masa pertama berikutan kesilapan individu, memberikan bola kepada pihak lawan dan bola kedua pula mereka dapat daripada kami," katanya.
Pesta gol juga turut terhasil di Stadium Bandaraya yang menyaksikan sentuhan penyudah Alif Ikmalrizal Anuar menyumbat gol kemenangan 4-3 Penang FC pada minit ke-84 selepas aksi separuh masa pertama bertemu Kelantan FC terikat 3-3.
Sementara itu, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan rutin 2-0 walaupun Negeri Sembilan FC liat untuk ditumbangkan di Stadium Sultan Ismail.