Skip to main content

Bola Sepak

Rundingan Neymar belum 'mati' tetapi tiada kata putus -- Leonardo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar.jpg
Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, menegaskan potensi Neymar untuk menyertai Barcelona masih belum 'mati', namun mengakui masih tiada sebarang kesepakatan di antara kedua-dua pasukan itu.

Neymar, 27, sedang hangat dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou, hanya dua tahun selepas perpindahan dengan rekod dunia €222 juta (RM1.03 bilion) daripada Barca kepada PSG.

Bercakap selepas PSG menewaskan Metz 2-0 awal pagi tadi, Leonardo berkata masih ada masa untuk merealisasikan perpindahan itu sebelum jendela perpindahan ditutup Isnin ini.

"Rundingan itu masih belum mati tetapi tiada persetujuan kerana permintaan kami masih belum diterima," katanya kepada wartawan.

"Kami terbuka untuk bercakap mengenai pemain tetapi masih tiada sebarang persetujuan.

"Kedudukan PSG dan Neymar sentiasa jelas, jika terdapat tawaran yang memuaskan, dia boleh pergi tetapi dalam kes ini, ia tiada."

Terdapat laporan mendedahkan Barca telah mengemukakan banyak tawaran, termasuk menawarkan beberapa pemain sebagai perjanjian untuk mendapatkan Neymar.

Namun, Leonardo mendedahkan tawaran rasmi pertama daripada pasukan gergasi Sepanyol itu hanya diterima beberapa hari lalu.

"Tawaran bertulis pertama Barca ialah pada 27 Ogos (Selasa) lalu," katanya.

Ditanya sama ada perpindahan itu akan dilengkapkan sebelum Isnin ini, beliau menambah: "Saya tidak tahu. Ia bergantung kepada Barcelona."

Advertisement

Must Watch Video