Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Ruhaled – Masih ada 90 minit dan yakin Gua Musang akan bangkit di Kuching

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

130517ruhaled.jpg
Hajat Gua Musang mencari bekalan selesa dalam final pusingan pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) menentang wakil Sarawak, Serian, berkecai apabila tumpas 0-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Biapun menguasai keseluruhan permainan, penyerang Gua Musang  gagal menyudahkan beberapa gerakan cantik di depan gawang pelawat, sekaligus memberikan kelebihan kepada Serian bagi menghadapi  final pusingan kedua di Kuching, 21 Mei ini.

Ketua jurulatih Gua Musang, Ruhaled Ab Hamid, bagaimanapun yakin peluang pasukannya belum tertutup kerana masih ada 90 minit aksi pusingan kedua di tempat lawan dan berjanji akan memperbaiki ketumpulan jentera serangan.

“Inilah bola sepak. Biarpun kami menguasai permainan, kalau gagal menjaringkan gol, kami tidak akan menang. Kami akan bangkit daripada kekalahan ini kerana masih ada 90 minit dalam pusingan kedua di Kuching nanti.

“Dalam separuh masa kedua, pemain menunjukkan aksi lebih kemas, cuma ketumpulan sentuhan penyudah menyebabkan kami dikecewakan malam ini (tadi). Insya-ALLAH, saya akan baiki jentera serangan yang kurang menjadi,”katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ruhaled  juga menamakan pemain tengah Serian, Paul Sambang, sebagai pemain terbaik yang perlu diawasi jika tidak mahu berputih mata buat kali kedua dalam aksi timbal balik nanti.

“Dia (Sambang) mempunyai kawalan bola yang baik dan bertanggungjawab mengucar-kacirkan benteng pertahanan kami. Kami akan beri lebih tumpuan kepadanya dan mengharapkan barisan pertahanan tidak mudah leka,” katanya.

Dalam saingan sengit malam tadi, Gua Musang yang memulakan asakan jelas menguasai permainan dan memaksa penjaga gol Serian, Rizal Ahmad, sibuk menjaga gawang daripada dibolosi.

Jentera serangan Gua Musang yang diketuai penyerang berbisa, Wan Mohd Khaizuran, bergandingan baik dengan Mohd Azizul Hakimi jelas membuatkan barisan pertahanan Serian yang diketuai Naim Drahman tidak senang duduk.

Akhirnya, Serian mendapatkan gol pembukaan melalui satu serangan balas yang memerangkap pertahanan Gua Musang melalui sungkitan cantik penyerang, Mahadi Razak, yang menewaskan penjaga gol, Mohamad Alif Haikal, pada minit ke-48.

Tersentak dengan jaringan itu, Gua Musang melancarkan serangan bertali arus, namun dihampakan dengan ketumpulan penyerang dan kecekapan penjaga gol Serian, Rizal.

Peluang terbaik Gua Musang untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-90 apabila sepakan percuma yang diambil Mohd Azizul ditepis keluar oleh Rizal, sekaligus memberikan kemenangan bermakna kepada Serian.

Advertisement

Must Watch Video