Ruben Dias telah berani mengkritik cemuhan yang meragui keupayaan Manchester City berikutan empat kekalahan berturut-turut yang dialami juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Buat kali pertama dalam karier pengurusannya, Pep Guardiola tewas empat rentetan perlawanan ketika City tumbang 1-2 kepada Brighton, Sabtu lalu.
Kekalahan itu menyusuli nasib malang mereka yang dibelasah Sporting CP 1-4 yang dibimbing oleh pengurus baru Manchester United, Ruben Amorim, dalam Liga Juara-Juara (UCL) serta tewas kepada Bournemouth dan disingkirkan Tottenham dalam Piala Liga Inggeris (EFL).
ity berada lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, tetapi Dias pantas mengenepikan keraguan itu.
"Saya akan berkata, tolong meragui kami, anda dialu-alukan untuk berbuat demikian," kata pertahanan tengah itu kepada pemberita.
"Apabila kami meraih kejayaan 'treble', kami juga menggelar tempoh itu sebagai Januari yang gelap. Kami mengalami satu tempoh yang sukar. Itulah yang berlaku.
"Apa yang penting ialah bagaimana anda bangkit. Itulah sebabnya kami telah mengecapi begitu banyak kejayaan kerana dalam saat-saat kesukaran, karakter kami muncul dan kami kekal bersatu hati.
"Kami tidak mencari orang untuk dibunuh, kami mencari orang untuk dibawa ke dalam medan dan berjuang bersama-sama.
"Itu yang perlu kami akan lakukan sekali lagi. Selagi ia belum selesai maka perjuangan kami belum padam."
Shaiful Shamsudin
Wed Nov 13 2024