Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo mahu teruskan kejayaan Euro 2016 dengan trofi Liga Negara-Negara UEFA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

800x450_ronaldo-cropped_iccf3z1xfdbo1d3r6tbeo8z5h.jpg
Cristiano Ronaldo kini mengintai kejuaraan antarabangsa kedua bersama Portugal tatkala juara Euro 2016 itu bakal berdepan Belanda dalam final Liga Negara-Negara UEFA.

Portugal dan Belanda akan melakukan perhitungan pada awal pagi esok selepas hatrik Ronaldo membolehkan mereka membenam Switzerland 3-1 dalam separuh akhir.

Ronaldo -- turut membintangi skuad yang tewas di tangan Greece ketika final Euro 2004 -- membantu Portugal meraih kejuaraan Eropah tiga tahun lalu dan pemenang lima kali Ballon d'Or itu kini menyasarkan untuk meraih kemenangan dalam final ketiga di peringkat antarabangsa.

"Apabila saya menyarung jersi skuad kebangsaan, ia satu penghargaan buat saya dan berbeza berbanding ketika mewakili kelab," katanya.

"Ini negara kami, keluarga dan rakan saya berketurunan Portugis. Saya membesar di Portugal, jadi sangat istimewa apabila menyarung jersi skuad kebangsaan. Jelas sekali, peluang untuk menjulang trofi membuatkannya lebih istimewa, seperti Euro 2004 dan Euro 2016. Kini, ada satu lagi kejohanan.

"Tiga final dan saya harap dapat menang dua daripadanya. Pasti hebat dan saya serta rakan sepasukan mengharapkannya. Kami positif beraksi di laman sendiri.

"Saya harap stadium akan hebat berbekalkan tenaga penyokong buat pasukan. Jadi, semua orang akan yakin kerana kami cuba memberikan yang terbaik. Bersama, kami menjadi juara."

Ronaldo menyinar dalam separuh akhir tatkala catatan hatriknya membolehkan Portugal mara ke final dalam edisi pertama Liga Negara-Negara UEFA.

Catatan itu bermakna penggempur berusia 34 tahun itu kini meraih 88 gol buat Portugal susulan hatrik ke-53 dalam kariernya.

"Ia satu persiapan, usaha saya," ujar pemain Juventus itu sewaktu ditanya mengenai usianya yang meningkat.

"Saya masih rasa bagus walaupun kini berumur 34 tahun. Apa yang penting dalam kepala anda adalah rasa bermotivasi dan gembira. Saya rasa masih ada banyak yang boleh saya sumbangkan."

Menanti Portugal dalam final adalah Belanda setelah menewaskan England 3-1 dalam masa tambahan dalam separuh akhir dan melihat situasi bakal berdepan pemain seperti Frenkie De Jong dan Matthijs De Ligt, Ronaldo menambah: "Saya telah menyaksikan mereka dalam beberapa perlawanan dan mereka memiliki skuad yang diperkuatkan oleh pemain hebat -- terdiri daripada tenaga muda dan berpengalaman -- sekali gus membuatkan pasukan mereka lebih ampuh.

"Kami sedar mereka bakal menjadi lawan yang sukar tetapi saya fikir begitu buat Portugal dan Belanda, itulah erti sebenar perlawanan akhir."

Advertisement

Must Watch Video