Ronaldo digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas
Zaki Zainal
April 18, 2024 11:55 MYT
April 18, 2024 11:55 MYT
Cristiano Ronaldo telah digantung dua perlawanan kerana menyiku lawan dan mengancam untuk menyerang pengadil selepas Al Nassr tewas 1-2 kepada Al Hilal pada separuh akhir Piala Super Saudi.
Asharq Al-Awsat melaporkan bahawa dalam perbicaraan dengan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), penyerang Al Nassr berusia 39 tahun itu menegaskan dia tidak layak dibuang padang.
Bagaimanapun, SAFF masih mengenakan larangan dua perlawanan terhadap Ronaldo berikutan perbicaraan itu, yang bermakna penyerang Portugal itu akan terlepas perlawanan Al Nassr menentang Al Feiha pada 19 April dan Al Khaleej pada 28 April dalam Liga Pro Saudi.
Al Nassr kini mengekori pendahulu liga Al Hilal dengan 12 mata selepas 27 perlawanan, dan dengan hanya tinggal tujuh perlawanan pada musim ini, keputusan dua perlawanan seterusnya boleh menentukan juara Liga Pro Saudi.
Dalam perlawanan di mana Al Nassr tewas 1-2 kepada Al Hilal pada separuh akhir Piala Super Saudi pada 8 April lalu, Ronaldo menyiku pemain pertahanan Ali Al Bulaihi sambil mempertikaikan bola di luar padang, menyebabkan pemain Al Hilal itu terjatuh lalu tergolek atas tanah.
Penyerang berusia 39 tahun itu kemudian dibuang padang oleh pengadil Mohammed Al Hoaish. Sebagai tindak balas, Ronaldo menunjuk isyarat tumbukan ke arah pengadil Al-Hoaish.
Menurut Goal, pengadil Al Hoaish menulis dalam laporan perlawanannya bahawa tindakan Ronaldo itu memalukan dan mencemarkan bola sepak Arab Saudi.
Al Nassr mengeluarkan kenyataan mempertahankan Ronaldo, menyatakan bahawa dia hanya cuba menolak lawannya, memenangi bola, dan kembali bermain secepat mungkin, dan tidak layak dilayangkan kad merah.
Begitu juga, jurulatih Luis Castro berhujah bahawa pemain pertahanan Al Bulaihi mencetuskan keadaan dan membesar-besarkan impak walaupun sentuhan tampak minimum.
Jurulatih Al Nassr itu tidak berpuas hati kerana VAR tidak campur tangan dan membatalkan kad merah Ronaldo. Beliau turut menambah penyerang Portugal itu tidak dapat mengawal emosinya kerana tidak biasa dengan kekalahan.
Musim ini, Al Nassr telah tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara AFC, separuh akhir Piala Super Saudi, berada di tempat kedua dalam Liga Saudi dan mempunyai peluang yang sangat tipis untuk memenangi kejuaraan.
Satu-satunya gelaran mereka musim ini ialah Piala Juara Kelab Arab. Al Nassr turut mara ke separuh akhir Piala Raja dan akan menentang Al Ittihad pada 30 April.
Untuk rekod, Ronaldo juga pernah digantung sebanyak lima perlawana bagi aksi La Liga pada 2017 ketika berkhidmat buat Real Madrid.