EMPOLI 0 INTER 3
Romelu Lukaku berterima kasih kepada penyokong dan kakitangan kecergasan Inter selepas menamatkan kemarau jaringan menerusi permainan terbuka Serie A dengan mencetak dua gol dalam kemenangan 3-0 di Empoli, awal pagi tadi.
Penyerang Belgium itu membuka tirai jaringan perlawanan pada awal separuh masa kedua di Stadio Carlo Castellani dengan penyudah tepat melepasi Samuele Perisan sebelum menggandakan golnya di ruang sempit.
Ia adalah gol liga keempat dan kelimanyanya musim ini dan gol pertamanya daripada permainan terbuka sejak meledak ketika berdepan Lecce dalam pembukaan kempen ini, kira-kira 253 hari lalu.
Justeru, Lukaku -- yang turut menjadi arkitek kepada gol pemain gantian, Lautaro Martinez -- gembira dapat membalas semula sokongan orang-orang di sekelilingnya pada masa yang sukar.
“Kami harus berterima kasih kepada peminat, mereka menaruh kepercayaan kepada pemain untuk melakukan yang lebih baik lagi,” katanya kepada Sky Sport Italia.
“Ini adalah satu musim yang rumit dan kami berterima kasih kepada penyokong atas sokongan mereka.
"Saya kini lebih pantas dalam perubahan larian dan kami mencapai satu keputusan yang hebat di samping kakitangan kecergasan.
"Kecederaan sebelum ini adalah yang paling serius dalam karier saya, ia tidak pernah terjadi."
Lukaku -- yang telah menyumbangkan 39 peratus daripada koleksi gol Inter sejak awal Februari lalu -- menambah: "Saya semakin yakin dan berhasrat terus membantu pasukan."
Shaiful Shamsudin
Mon Apr 24 2023